Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, September 22, 2008

SEJARAH DAN ASAL USUL

Kajang dan kawasan sekitarnya merupakan sebuah mukim yang terletak di dalam Daerah Hulu Langat di negeri Selangor. Ia terletak lebih kurang 14 batu di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungi melalui jalan raya dan jalan keretapi.
Kajang juga dapat dihubungkan dengan Putrajaya, Pusat Pentadbiran Negara dan Cyberjaya Bandar Multimedia Negara. Di sebelah Baratnya pula terletak bandar Puchong, Batu 3 dan Klang. Pada dasarnya Kajang terdiri dari beberapa penempatan Melayu, Cina dan India. Kawasan perkampungan rata-rata didiami oleh orang-orang melayu. Orang-orang cina tinggal secara berselerak di sekitar bandar Kajang. Manakala kawasan-kawasan ladang getah didiami oleh orang-orang berketurunan india. Jika dilihat dari sudut topografinya pula, mukim Kajang adalah terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250sm dari paras laut.
Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang. Masyarakat Melayu Tradisional gemar meneroka tempat kediaman di lembah-lembah sungai iaitu di lembangan-lembangan. Terutamanya di lembah-lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Lukut.
Sebenarnya pengertian Selangor bermakna Tanah Lembangan Lima Bintang Sungai-sungai tersebut. Pada waktu itu sungai menjadi jalan perhubungan untuk keluar masuk bagi satu-satu kawasan penempatan. Lembah-lembah sungai ini sangat subur untuk bercucuk tanam dan ia sesuai dengan petani-petani yang bergantung hidup kepada tanah. Mereka juga menjalankan aktiviti menangkap ikan. Kewujudan pekan Kajang juga bertitik tolak daripada faktor-faktor ini.
Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya. Menurut orang-orang tua, Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan. Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang asli yang berpusat di Klang. Pada waktu itu Klang diperintah oleh orang-orang asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah pusat pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepad Batin Seri Alam.

ASAL USUL NAMA KAJANG



Perkataan Kajang lahir daripada beberapa sumber berikut :

PENDAPAT PERTAMA :
Adalah dipercayai Kajang telah diterokai oleh orang-orang suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.


PENDAPAT KEDUA :
Batin Berenggai Besi merupakan seorang pembesar di Sungai Ujong. Pernah mendirikan pondok-pondok di pinggir sungai yang terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang lipat kajang pondok yang didirikan itulah lahirnya nama Kajang.


PENDAPAT KETIGA :
Menurut satu riwayat, maksud perkataan ' berkajang ' bagi orang Mendailing berpondok. Manakala bagi orang Bugis 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang, kerana salah faham maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu Sg. Langat kerana melarikan diri dari perang saudara yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang

PENDAPAT KEEMPAT :

Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk penanaman padi di Bukit Sg. Merbau dan membuka lombong @ Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai KAJANG.


PENDAPAT KELIMA :
Raja Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya datang ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.