Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 03/07/2008

Pulihkan jejantas gelap
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN


KAJANG 2 Julai - Di kawasan-kawasan yang sentiasa sibuk dengan kenderaan, jejantas pejalan kaki sememangnya amat diperlukan kerana ia akan memudahkan penduduk melintas dengan selamat dan pantas.

Walaupun ada jejantas yang kedudukannya agak jauh dari kawasan tumpuan penduduk dan mereka perlu memanjat tangga untuk menggunakannya tetapi ia lebih berbaloi daripada mempertaruhkan nyawa untuk melintas jalan.
Itulah yang dirasakan oleh penduduk Taman Saujana Impian di sini yang ternyata amat bersyukur kerana disediakan dengan kemudahan itu berikutan jalan di taman perumahan itu kini semakin sibuk.

Sejak jalan pintasan Kajang-Semenyih dibuka pada tahun 2004 lalu, jalan utama Saujana Impian digunakan oleh semakin banyak kenderaan termasuk kenderaan berat.
Jalan tersebut yang kini bersambung dengan Lebuh raya Cheras-Kajang dijangka bertambah sesak apabila Lebuh raya Kajang-Seremban siap tidak lama lagi.

Dengan adanya kemudahan jejantas itu, penduduk kawasan itu tidak risau lagi untuk ke masjid atau pusat beli-belah yang berada di seberang jalan taman perumahan itu.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, jejantas tersebut sudah bertukar menjadi satu perangkap jenayah terutama pada waktu malam kerana keadaannya yang gelap.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan jejantas itu yang gelap juga boleh mengundang kemalangan kepada pejalan kaki kerana ia turut digunakan oleh penunggang motosikal.

Namun, kemudahan untuk penunggang motosikal itu ada kalanya memberi 'kemudahan' kepada penjenayah melakukan kegiatan mereka.
Penjenayah yang menggunakan motosikal akan dengan mudah melarikan diri selepas meragut atau mencabul kehormatan di atas jejantas itu kerana sudah tersedia laluan dan keadaannya yang gelap.

Tinjauan mendapati terdapat jumlah lampu yang mencukupi di jejantas itu tetapi kesemuanya tidak menyala.
Keadaan di situ bertambah gelap kerana sepanjang jalan utama Saujana Impian itu sejauh kira-kira tiga kilometer tidak mempunyai lampu jalan walaupun ada tiang lampu pada jarak setiap 50 meter.

Cahaya di jalan itu hanya bergantung kepada lampu kenderaan sahaja dan keadaan itu ternyata membahayakan penunggang motosikal dan pejalan kaki.
Menurut penduduk, lampu jalan di sepanjang jalan itu mungkin ada masalah pendawaian dan perlu ditukar segera.
Kata mereka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pernah memperbaiki keseluruhan lampu jalan di situ tetapi dalam masa dua tiga hari sahaja, semuanya sudah tidak menyala lagi.

Kata mereka, MPKj juga ada memasang iklan berlampu pada tiang lampu di jalan berkenaan tetapi ia tidak membawa makna pada waktu malam kerana tidak menyala.
Penduduk Taman Saujana Impian berharap MPKj bertindak pantas memperbaiki masalah berkenaan bagi mengurangkan risiko kejadian jenayah.

Seorang penduduk, Mohd. Shahir Hashim, 23, berkata, rakannya pernah menjadi mangsa peras ugut semasa berjalan kaki melalui jejantas berkenaan pada pukul 11 malam.
Dalam kejadian itu, katanya, rakannya itu kehilangan sejumlah wang tunai serta telefon bimbit dan semenjak itu, rakannya tidak berani lagi menggunakan jejantas itu pada waktu malam.

"Kalau ada lampu, saya rasa insiden tersebut mungkin tidak terjadi.
"Saya tidak faham mengapa MPKj tidak peka dengan masalah lampu di jejantas dan jalan Saujana Impian sedang kawasan ini sudah semakin sibuk,'' katanya.
Muhd. Tajudin Yusoff, 41, yang sering berulang alik menggunakan jejantas berkenaan untuk pergi ke tempat kerja berpendapat, MPKj harus memandang berat terhadap aspek keselamatan penduduk di situ.

"Hampir semua penduduk di sini menggunakan jejantas ini kerana ia lebih mudah untuk ke kawasan bersebelahan dan berharap MPKJ tidak terlepas pandang dalam soal ini,'' tegasnya.
Katanya, dia juga sering mendengar pelbagai kes peras ugut berlaku di atas jejantas itu, malah ada di antara rakan-rakannya yang pernah menjadi mangsa.
"Mereka tiada pilihan untuk tidak menggunakan jejantas ini walaupun pernah diperas ugut, lihatlah jalan utama di sini yang sentiasa sibuk dengan kenderaan,'' katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Rahmat Ahmad, 39, pula berkata, rakan isterinya pernah dicabul oleh penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab semasa menggunakan jejantas itu.

Ekoran itu, dia tidak membenarkan isterinya menggunakan jejantas itu tanpa pengetahuannya atau tanpa diiringi oleh orang lain terutama pada waktu malam.
"Saya takut terjadi apa-apa yang tidak baik. Mula-mula mungkin cabul tetapi lama-kelamaan mungkin ragut, peras ugut atau jenayah serius yang lain," katanya.
Dia mahu MPKj melakukan usaha pembaikan secepat mungkin termasuk menggantikan beberapa tiang lampu jalan yang telah tumbang akibat dilanggar kenderaan.

No comments: