Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 12/02/2008

Semenyih perlu perubahan
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI



SEMENYIH 11 Feb. – Pada penghujung tahun 2002, penduduk bandar ini dikejutkan dengan berita cadangan pembinaan insinerator bernilai RM1.5 bilion di tapak seluas 265 hektar di Broga.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, kerajaan membuat keputusan membatalkan projek itu berikutan kosnya yang terlalu tinggi dan akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.
Namun, tanpa projek itu pun, masalah kesesakan di Semenyih memang sudah agak kritikal dan penduduk tidak pilihan lain selain daripada menempuhnya setiap hari kerana itu adalah satu-satunya jalan yang ada.

Persoalan sama ada Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) yang kini sedang dibina, boleh mengurangkan masalah itu masih tidak dapat dipastikan.
Ini kerana kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk secara mendadak di kawasan itu tidak seiring dengan pembangunan infrastrukturnya.

Berpuluh-puluh taman perumahan baru wujud di kawasan itu selain kampus cawangan Universiti Nottingham dan markas Pasukan Gerakan Am yang sedang dibina tetapi tiada langkah segera diambil untuk melebarkan jalan.
Bayangkan, keadaan jalan yang digunakan oleh penduduk lebih 20 tahun lalu merupakan jalan yang sama digunakan oleh penduduk Semenyih, Rinching dan Beranang pada hari ini.

Walaupun ada usaha melebarkan jalan tersebut tetapi ia tidak dibuat secara menyeluruh menyebabkan berlaku bottle neck yang menjadi punca kesesakan tersebut.
Semenyih kini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan sudah pasti ia memerlukan perancangan pembangunan yang dapat memenuhi beban kepadatan yang ditanggungnya kini.
Tinjauan Utusan Malaysia ke bandar itu baru-baru ini mendapati bandar tersebut gagal diurus dengan baik menyebabkan ia tidak selesa untuk dikunjungi.
Kewujudan gerai-gerai yang tidak dibina dengan teratur menyebabkan pemandangan di bandar tersebut tidak ubah seperti ‘bandar koboi’.

Kebanyakan pengusaha gerai membuat penyambungan haram menggunakan zink dan papan sekali gus mencacatkan pemandangan bandar tersebut.
Bandar itu pula hanya mempunyai satu jalan atau simpang masuk dan kedudukan simpang itu yang tidak sampai 100 meter dari satu simpang empat tanpa lampu isyarat menyebabkan jalan itu sering sesak.
Ini ditambah pula dengan sikap pemandu yang suka meletak kenderaan sesuka hati di tepi jalan dan membuat pusingan U di simpang empat tersebut.

Peniaga di kawasan itu memberitahu, setiap hari pasti ada kemalangan yang berlaku di simpang itu disebabkan sikap pemandu yang tidak mahu beralah.
Di bandar itu, terdapat juga sebuah bangunan lama yang ditinggalkan pemiliknya dan kini ditumbuhi semak-samun yang menggambarkan kurangnya pemantauan dilakukan.
Utusan Malaysia difahamkan, bangunan yang berusia 40 tahun itu tidak dapat dirobohkan oleh kerana Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mengetahui siapa pemiliknya.

Bagaimanapun, penduduk tidak mahu mendengar alasan itu sebaliknya meminta MPKj menyiasat dan mengambil tindakan segera merobohkan bangunan itu sebelum ia menjadi sarang penagihan dadah atau kegiatan maksiat.

Walaupun terdapat pembangunan baru di kawasan itu iaitu Semenyih Sentral tetapi jalan perhubungan ke kawasan itu dengan bandar lama tidak dinaik taraf.
Bahu jalan berhampiran pejabat pos Semenyih berlopak-lopak dan menjadi tempat meletak lori sedang ia boleh digunakan untuk melebarkan jalan tersebut.
Banyak juga premis yang dibina terlalu hampir dengan jalan menyebabkan usaha melebarkan jalan sukar dilaksanakan.

No comments: