Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

KERATAN AKHBAR

ARKIB : 07/08/2008


MPKj perlu jadual kerja tersusun

SEMENYIH 6 Ogos - Beberapa ahli jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Desa Mewah menggesa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyenggara taman perumahan itu dengan jadual yang tetap supaya lebih berkesan.

Menurut mereka, walaupun menyedari banyak lagi taman perumahan lain yang perlu diuruskan oleh MPKj tetapi mereka yakin MPKj dapat dilaksanakannya jika ada perancangan kerja yang tersusun.

Sebagai permulaan, mereka menuntut segala aduan yang telah dikemukakan kepada MPKj dan pemaju semenjak dua tahun lalu diberikan perhatian segera.
Setiausaha Rukun Tetangga (RT) Taman Desa Mewah, Norman Md. Rabani, 34, berkata, tidak banyak yang mereka tuntut tetapi setakat ini, hanya satu sahaja permintaan mereka ditunaikan oleh MPKj iaitu pembinaan bonggol di Jalan 9 dan Jalan 10.
Namun, katanya, pembinaan bonggol itu diibaratkan melepaskan batuk di tangga kerana hanya dibina pada sebelah jalan sahaja.

Tambahnya, penduduk meminta beberapa tambahan bonggol lagi di jalan yang sama kerana bonggol sedia ada tidak cukup untuk mengurangkan risiko kemalangan.
"Kami berharap tiga bonggol tambahan dapat ditambah setiap satu di Jalan 9, Jalan 10 dan jalan keluar dari Taman Desa Mewah,'' katanya.
Mengenai beberapa masalah yang menghantui penduduk di situ, beliau berkata, pihaknya sudah berulang kali menghantar surat aduan kepada MPKj tetapi ia seperti mencurah air ke daun keladi.

"Saya tidak faham mengapa pihak MPKj sukar menyelesaikan aduan penduduk Desa Mewah sedangkan ada di antara masalah itu sudah lama diadukan,'' katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi RT Taman Desa Mewah, Hassan Abdul Rashid, 38, berkata, pihak MPKj sewajarnya memberitahu kepada penduduk Desa Mewah jika ada sebarang projek hendak dilakukan di kawasan itu.

"Penduduk di sini kadang-kadang terpinga-pinga apabila sesuatu projek atau pembinaan yang dilaksanakan kerana kami selaku RT Desa Mewah tidak tahu apa yang berlaku. Apa kami nak jawab bila penduduk bertanya,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui penubuhan RT di taman itu membawa manfaat besar kerana telah berjaya mengurangkan kes jenayah sehingga 95 peratus.
"Pada tahun 2005, sebanyak 31 meter paip air dan dua buah kereta penduduk telah hilang ekoran tiada kawalan keselamatan.

"Tetapi hasil muafakat semua penduduk, kami bersama-sama mengupah pengawal dan keselamatan di Desa Mewah kini lebih terjamin,'' katanya.
Walaupun begitu, beliau berharap pihak polis dapat terus melakukan rondaan di taman itu terutama selepas tengah malam kerana kawasan itu agak sunyi dan boleh dimasuki dari bahagian belakang dan tepi yang bersempadan dengan belukar, ladang getah dan taman perumahan lain,'' katanya.

No comments: