Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 06/02/2008

MPUD, MPKj bergabung hapus gerai haram
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

SEMENYIH 5 Feb. - Satu skim keusahawanan yang dikenali sebagai Skim Usahawan Stall anjuran Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diperkenalkan dalam usaha menghapuskan gerai haram di kawasan Semenyih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor berkata, masalah gerai setinggan yang berlaku kini diyakini dapat dapat diselesaikan sekiranya mereka diberi kemudahan berniaga yang teratur.

Menurutnya, skim tersebut memberi peluang kepada usahawan baru dan usahawan sedia ada mendapatkan bantuan modal, tapak perniagaan, lesen serta menghadiri kursus kesihatan dan keusahawanan.
Katanya, melalui skim tersebut, sebanyak 500 gerai dibuka untuk dipohon di kawasan Hulu Langat, Hulu Semenyih, Semenyih, Beranang, Kajang dan Cheras.

"Skim ini diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih 400 buah gerai yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai lesen di kawasan ini.
"Jadi dengan terlaksananya skim ini, saya berharap peniaga dapat merebut peluang untuk menjadikan perniagaan mereka bukan hanya kerja sampingan malah sumber ekonomi tetap.
"Skim ini juga memudahkan MPUD dan MPKj memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa,'' katanya ketika merasmikan majlis prapelancaran Skim Usahawan Stall MPUD-MPKJ di sini semalam.

Ahmad Kuris berkata, skim itu juga akan memastikan bentuk gerai diselaraskan bagi mencantikkan lagi kawasan pemandangan di kawasan perniagaan.
Tambahnya, MPUD dan MPKj akan memantau perniagaan mereka selama dua tahun bagi memastikan peniaga menjalankan perniagaan dengan bersih dan teratur.
"Bagi mengelakkan kawasan gerai-gerai tersebut kotor, kita akan meminta kerjasama Rukun Tetangga (RT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memantau keadaan.

"Sekiranya peniaga tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, mereka tidak akan dapat menyambung lesen yang telah diberikan,'' katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, sejak permohonan dibuka pada minggu lepas, sebanyak 150 permohonan telah diterima.

Beliau berharap orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang skim tersebut supaya menghubungi pihak urus setia Dewan Muda Hulu Langat di talian 03 - 9019 8664.

No comments: