Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 10/09/2008

Peniaga abai notis pindah
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN


BALAKONG 9 Sept. - Penduduk Flat Taman Taming Jaya menyuarakan rasa kurang senang dengan sikap peniaga pasar pagi di hadapan kawasan perumahan mereka yang enggan berpindah walaupun sudah mendapat notis daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Seorang penduduk, Hashimi Abdul Manaf, 40, berkata, notis bertarikh 14 Ogos itu mengarahkan peniaga-peniaga terbabit berpindah ke tapak pasar siang di sebuah kawasan tanah persendirian tidak jauh dari situ selewat-lewatnya 24 Ogos lalu.
Namun, sehingga ke hari ini, arahan itu dipandang sepi oleh kesemua peniaga terbabit dan mereka masih terus berniaga di kawasan perumahan itu.

"Saya mungkin boleh faham dengan sikap degil peniaga terbabit tetapi saya cukup hairan mengapa MPKj tidak bertindak tegas dalam soal ini dan terus membiarkan mereka berniaga di sini.
"Masalah yang dibawa oleh kebanyakan peniaga di sini cukup serius seperti sampah-sarap dan penjualan daging babi secara terbuka yang jelas tidak menghormati orang Islam yang ramai tinggal di sini,'' katanya.

Dia mengakui telah menghantar surat kepada Yang Dipertua MPKj, Datuk Hassan Nawawi mengenai masalah tersebut bagi mewakili penduduk-penduduk yang lain.
"Di dalam surat tersebut, saya meminta beliau mengambil tindakan segera demi kepentingan penduduk beragama Islam di samping demi memelihara perpaduan dalam masyarakat di situ,'' katanya.

Pada keluaran 30 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan rungutan dan masalah penduduk di Taman Taming Jaya mengenai kehadiran pasar pagi di kawasan meletak kenderaan perumahan mereka.
Pasar itu bukan sekadar membawa masalah kekotoran tetapi juga isu penjualan babi secara terbuka di kawasan yang majoritinya adalah orang Melayu sehingga mencetuskan suasana yang tidak selesa.

Pasar itu juga menyebabkan kawasan itu kekurangan ruang meletak kenderaan kerana peniaga pasar pagi berkenaan beroperasi di atas petak meletak kenderaan.
Sementara itu, Penyelaras Rukun Tetangga Hulu Langat, Mejar (B) Abdul Rahim Mohd. Amin, 47, berkata, sikap toleransi antara penduduk perlu ada dalam mengelakkan salah faham.
"Kita tidak menghalang mereka berniaga di sini namun biarlah di tempat yang telah dikhususkan oleh MPKj,'' katanya.

Tambahan pula, kata beliau, tempat tersebut terletak di dalam zon denggi yang serius yang memerlukan semua pihak memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih.
Ketua Cawangan UMNO Taman Taming Jaya, Datuk Sharudin Razali, 48, berkata, beliau akan mencari ikhtiar dan berjumpa dengan Hassan Nawawi bagi mencari jalan penyelesaian.

"Tindakan daripada MPKj terlalu perlahan, saya berpendapat masalah ini boleh diselesaikan dengan berjumpa dengan beliau sendiri.''
"Kepentingan orang Melayu Islam di sini perlu dihormati oleh peniaga-peniaga pasar terbabit,'' katanya.

No comments: