Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 19/07/2008

Penduduk mahu padang dibaiki
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN



KAJANG 18 Julai - Penduduk-penduduk Bandar Tun Hussein Onn dekat sini berharap padang awam di kawasan perumahan itu yang telah rosak sejak satu setengah tahun yang lalu diperbaiki segera oleh pihak pemaju atau pihak berkuasa tempatan.
Padang awam tersebut sering digunakan oleh penduduk terutama di Fasa Suasana untuk bermain bola sepak dan berjoging sebelum terbiar berikutan permukaannya yang tidak rata dan berbahaya untuk digunakan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sesetengah bahagian padang itu sudah kehilangan rumput dan berlopak-lopak manakala pon- dok rehat berhampiran menjadi mangsa vandalisme.

Malah, keadaan padang yang terbiar itu menyebabkan semak-samun sudah meninggi manakala pokok-pokok tumbuh meliar sehingga menyakitkan mata memandang.
Wakil penduduk yang ditemui, Mohd. Jamil Adnan, 46, berkata, penghuni di situ amat memerlukan kawasan untuk beriadah dan sejak padang itu tidak boleh digunakan, banyak kegiatan sosial tidak dapat dilakukan.
"Kami amat mengharapkan pihak pemaju atau Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dapat membaiki kerosakan ketara di padang ini demi kebajikan penduduk Bandar Tun Hussein Onn.

"Hubungan penduduk di sini dapat dipereratkan sekiranya padang di sini dibaik pulih kerana kami semua dapat juga bersukan atau mengadakan kegiatan sosial lain seperti mengadakan ceramah keagamaan atau perjumpaan penduduk,'' katanya.
Tambahnya, pondok berhampiran padang terbabit serta landskap padang awam berkenaan juga perlu diperbaiki dan dihias semula supaya penduduk boleh menggunakannya dengan selesa.

"Ranting-ranting pokok yang sudah tumbuh meliar dan semak-samun di sini perlu dibersihkan oleh MPKj,'' katanya.
Selain itu, beliau turut meminta supaya satu dewan orang ramai dibina untuk penduduk terutamanya di Fasa Suasana supaya boleh dijadikan pusat aktiviti setempat.

"Sukar kepada penduduk di sini untuk melakukan apa-apa perjumpaan. Sekarang ini, sebarang perbincangan program kemasyarakatan banyak dilakukan di masjid tetapi sukar untuk masyarakat bukan Islam untuk menyertainya,'' jelas beliau.
Beliau berkata, penduduk di sini amat memerlukan kemudahan riadah dan tempat bersosial, bukannya setakat rumah yang selesa semata-mata,'' katanya.

No comments: