Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

KERATAN AKHBAR

ARKIB : 30/08/2008

Memberi kemudahan kepada penguna, penduduk


SEMENYIH 29 Ogos - Pembukaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dijangka membawa manfaat besar termasuk dari segi ekonomi kepada penduduk di kampung-kampung sepanjang lebuh raya itu.

Ini diakui oleh beberapa wakil rakyat yang menyertai majlis taklimat dan dibawa meninjau lebuh raya berkenaan oleh pemegang konsesi Lekas, Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. hari ini.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abd. Aziz, pembukaan lebuh raya berkenaan dapat mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di Semenyih.
"Selama ini kita maklum bahawa kesesakan teruk merupakan satu isu besar di pekan Semenyih, jadi dengan pembukaan lebuh raya ini pastinya akan menyelesaikan masalah tersebut, walaupun tidak secara menyeluruh.

"Selain itu, dengan pembukaannya juga kawasan Semenyih pastinya mampu menjadi sebuah kawasan yang pesat membangun," katanya.

Bagi ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar, pengguna kini mempunyai pilihan alternatif untuk menuju ke Seremban memandangkan lebuh raya tersebut telah dibuka.
"Walaupun pembukaan lebuh raya ini tertangguh beberapa lama namun ia akan memberi banyak faedah kepada pengguna dan penduduk.

"Jika sebelum ini, Semenyih jarang menerima 'tetamu', dengan pembukaan lebuh raya ini pastinya mukim Semenyih akan lebih dikenali.

"Selain itu, taman-taman perumahan di sekitar Semenyih sudah pastinya akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan memandangkan berada dekat dengan lebuh raya," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Baru, Mohd. Rasip Mohd. Yusuf, 58, mengakui penduduk kampung gembira dengan pembukaan lebuh raya berkenaan namun pihak konsesi juga perlu mengambil berat tentang masalah kesesakan di jalan-jalan kampung berkenaan.

Jelasnya, ini kerana jalan-jalan lama yang menuju ke lebuh raya berkenaan masih lagi sesak walaupun lebuh raya berkenaan telah dibuka.

"Pembukaan lebuh raya ini memang dinanti oleh penduduk namun saya amat berharap pihak pengurusan Lekas dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan di jalan-jalan lama memandangkan pengguna turut menggunakan jalan tersebut.

"Selain itu, saya juga amat berharap pihak Lekas dapat turun padang bagi melihat dengan lebih jelas tentang sistem saliran yang mengalami masalah di kampung kami akibat pembinaan lebuh raya ini," ujarnya.

No comments: