Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

KERATAN AKHBAR

ARKIB : 19/08/2008


Kebanjiran PATI di Bangi akan ditangani

BANGI 18 Ogos - Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan flat Seksyen 16, Bangi akan diberi perhatian oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Shafie Ngah berkata, perkara itu akan diutamakan kerana pihaknya tidak mahu berlaku pelbagai gejala sosial melibatkan golongan itu.

"Ekoran masalah yang banyak ditimbulkan oleh PATI, MPKj akan berbincang untuk mendapat keputusan yang terbaik bagi menangani masalah itu.

"Kami tidak mahu penduduk Bangi dalam ketakutan kerana limpahan pendatang asing di kawasan ini,'' katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Bulan Kemerdekaan Bandar Baru Bangi di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin dan Pengawai Jabatan Pembangunan Bangi, Siti Zubaidah Abdul Jabar.
Shafie menambah, Bangi menjadi tumpuan pendatang asing kerana terdapat banyak kilang di kawasan itu dan MPKj akan memastikan kehadiran golongan itu tidak menyusahkan penduduk tempatan.

Sementara itu, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang bulan ini bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan penduduk Bandar Baru Bangi, di samping menyambut kehadiran Ramadan tidak lama lagi.

Pengurus sambutan, Ahmad Sufie Munasir berkata, antara yang akan diadakan ialah peraduan mewarna kanak-kanak yang disertai hampir 400 kanak-kanak dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang akan diadakan di Kompleks PKNS di sini.
"Antara anggota panel forum itu ialah Datuk Dr. Haron Din dan bekas mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya,'' katanya.

Beliau menambah, turut akan diadakan ialah Hari Kesihatan di Kompleks PKNS pada 23 Ogos manakala pada keesokannya, kejohanan sepak takraw terbuka yang akan diadakan di gelanggang sepak takraw Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Seterusnya, kami akan mengadakan pertandingan nasyid merdeka yang juga akan diadakan di Kompleks PKNS tetapi terhad kepada 20 pasukan sahaja," katanya.
Ahmad Sufie menambah, bagi menyemarakkan lagi bahang sambutan Hari Kebangsaan, pertandingan pidato dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang disasarkan kepada pelajar sekolah juga akan diadakan.

"Pada malam Hari Kebangsaan, kami akan mengadakan Konsert Amal Ramadan di Ambang Merdeka bagi menyambut Hari Kebangsaan dan bulan Ramadan," jelasnya.

No comments: