Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 19/01/2008

Kajang sesak, merimaskan
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KAJANG 18 Jan. – Masalah kesesakan jalan di sekitar bandar Kajang telah menjadi pemandangan biasa bagi penduduk di bandar tersebut.
Ada yang berpendapat, masalah tersebut sudah tiada jalan penyelesaiannya.
Setiap hari kawasan itu akan mengalami kesesakan yang teruk terutamanya pada sebelah pagi dan petang.

Walaupun telah banyak kali masalah tersebut dilaporkan oleh pihak media namun masalah itu masih tidak berkurangan.
Apa yang lebih memeranjatkan, kenderaan awam seperti bas dan teksi adalah penyumbang utama kepada masalah kesesakan tersebut.

Walaupun papan tanda melarang pemandu bas dan teksi menunggu penumpang di kawasan tersebut, namun papan tanda itu hanya menjadi perhiasan sahaja bagi mereka.
Keadaan pondok bas yang berhampiran selekoh menyebabkan kesesakan lebih teruk berlaku di kawasan tersebut.

Beberapa buah bas yang menunggu penumpang menjadikan pemandangan kawasan itu tidak ubah seperti di stesen bas padahal ia hanya sebuah pondok bas biasa sahaja.
Itu belum lagi bas yang mengambil dan menurunkan penumpang di tengah jalan yang menghalang perjalanan pengguna lain.
Tambah pula, deretan teksi di tepi-tepi jalan berhampiran bas menambahkan kesesakan yang sedia ada.

Beberapa pemandu teksi yang ditemui, memberitahu bahawa mereka tiada pilihan lain selain daripada menunggu penumpang di situ kerana tempat tersebut menjadi tumpuan orang ramai.

‘‘Kami tahu tempat ini dilarang meletak kenderaan dan menunggu penumpang, namun kami tiada pilihan lain kerana tempat ini ramai orang.
‘‘Kalau di tempat lain, susah nak dapat penumpang. Lagipun disini berhampiran dengan pasar raya, jadi orang pun ramai.
‘‘Kami tidak kisah sekiranya tempat ini dipindahkan tetapi kami harap kerajaan dapat menyediakan kawasan untuk kami menunggu penumpang,’’.
Bukan itu sahaja, situasi itu semakin buruk apabila ada segelintir pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan.
Apabila perkara itu berlaku, kebanyakan pemandu mula hilang sabar dan menyebabkan mereka memandu secara merbahaya.

Mangsa sudah pastinya pejalan kaki yang menggunakan laluan tersebut.
Selain itu, keadaan jalan yang sempit dan dikelilingi dengan bangunan lot-lot kedai yang menjadi tumpuan pengunjung menambahkan lagi kesesakan jalan tersebut.
Struktur jalan lama yang berusia lebih 20 tahun itu menyebabkan jalan tersebut mempunyai banyak simpang kecil di mana kenderaan keluar dan masuk.
Oleh sebab itu, keadaan akan menjadi sesak apabila kenderaan dari jalan utama terpaksa memberi laluan kepada kenderaan berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan, kesesakan tersebut menjadi lebih teruk apabila tiba hujung minggu, cuti umum dan hari perayaan.
Kebanyakan pada hari cuti, lebih ramai pengguna akan memasuki bandar tersebut dan sudah semestinya masalah meletak kenderaan di bahu-bahu jalan menjadi punca utama kesesakan itu.

Menurut seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Cheong Kong, 44, mengakui keadaan di kawasan tersebut berpunca daripada masalah bas dan teksi yang mengambil dan menurunkan penumpang dengan sesuka hati.
‘‘Saya lihat pemandu bas tersebut menurunkan penumpang-penumpangnya di tengah-tengah jalan menyebabkan pemandu kenderaan lain terpaksa menunggu di belakang.
‘‘Kalau setakat mengambil dan menurunkan penumpang tidak mengapa tetapi kebanyakan mereka menunggu penumpang.
‘‘Saya harap pihak berkuasa dapat memantau keadaan ini supaya ia dapat diatasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna,’’ katanya yang mengakui masalah tersebut turut menjejaskan perniagaanya.

Isu kesesakan ini pasti tidak dapat diselesaikan sekiranya pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu.

No comments: