Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 12/02/2008

Kerajaan negeri, MPKj perlu bertindak

SEMENYIH 11 Feb. – Penduduk Semenyih meminta kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merangka satu pelan khas bagi mengatasi pelbagai masalah yang berlaku di Semenyih sekarang ini.

Menurut mereka, dengan pelbagai perancangan di sekitar kawasan itu terutama projek perumahan dan pembinaan sebuah pasar raya besar, kerajaan perlu memastikan keadaan di situ diperbaiki segera.
Dalam hubungan ini, kata mereka, MPKj perlu melibatkan pemaju supaya beban menambah kemudahan infrastruktur dapat dikongsi bersama.

Seorang penduduk yang ditemui, Azizi Zainal, 29, memberitahu, sering kali tindakan yang diambil oleh MPKj dan kerajaan negeri agak lambat dan mengecewakan penduduk.
“Kita bukan tidak membuat aduan kepada pihak berwajib namun kadang-kadang aduan tersebut tiada tindak balas.
“Contohnya seperti masalah ketiadaan lampu isyarat di simpang empat itu, sudah banyak kemalangan berlaku di kawasan berkenaan namun masih tiada lampu isyarat dipasang.
“Jadi, apa lagi yang boleh kami lakukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seorang pekerja restoran, Amanrullah Shariffudin, 35, mengakui masalah infrastruktur di bandar Semenyih masih di takuk lama.
Menurutnya, jalan di bandar Semenyih ini perlu dinaik taraf bagi memudahkan penduduk di kawasan tersebut.

“Saya telah berniaga di sini sejak sembilan tahun lalu, hari-hari saya lihat kemalangan berlaku di persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat ini.
“MPKj seharusnya bina lampu isyarat ini dengan segera bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku kelak,’’ ujarnya.

Norizan Nordin, 46, juga mengakui bahawa sesetengah jalan di bandar Semenyih perlu dilebarkan kerana keadaan di situ semakin sesak dan padat.
“Jalan di bandar ini perlu dibesarkan bagi memudahkan pengguna yang semakin ramai. Ini kerana jalan ini juga digunakan oleh orang ramai untuk ke Nilai, Bangi Lama dan Dengkil,” ujarnya.

Sementara itu, Omar Hamid, 36, berkata, kemudahan infrastruktur yang lengkap menjadi harapan penduduk di Semenyih.
“Sudah lama kita mengharapkan kemudahan infrastruktur yang lengkap di sini, jadi sudah tiba masanya kerajaan negeri dan MPKj menyediakan keperluan penduduk.
“Kita tidak mahu lagi masalah infrastruktur ini menjadi masalah utama di bandar ini,’’ jelasnya.

Seorang peniaga, Norliza Malik, 36, turut berkongsi pendapat yang sama.
“Saya amat berharap masalah seperti bangunan terbengkalai, penjaja haram dan kekurangan lampu jalan di bandar ini dapat di atasi dengan segera,’’ katanya.

No comments: