Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 04/02/2008

Percepat pembinaan terowong


KAJANG 3 Feb. - Penduduk Taman Kajang Utama yang sudah tidak tahan dengan kepayahan yang dialami sejak empat tahun lalu merayu agar dipercepatkan pembinaan terowong alternatif yang menghubungkan kawasan penempatan mereka dengan bandar Kajang.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengharapkan pembinaan jalan alternatif yang berupa terowong sepanjang 20 meter itu dibina berhampiran jalan masuk ke penempatan mereka.
Seorang penduduk, Ibrahim Martibi, 52, berkata, masalah tersebut telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan yang diambil setakat ini.
Malah, menurutnya, penduduk pernah membuat bantahan secara aman bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan pengabaian kerajaan negeri terhadap masalah mereka itu.
"Kami bukan menghalang pembinaan lebuh raya tersebut tetapi kewujudannya menyukarkan aktiviti harian kami.

"Seharusnya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyediakan laluan alternatif kepada penduduk bagi memberi kemudahan perjalanan apabila lebuh raya tersebut dibina,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, terowong atau jalan alternatif itu bukan sahaja satu kemudahan kepada penduduk tetapi diyakini akan mengembalikan kegiatan ekonomi di kawasan itu seperti sebelum ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Sufian Mat Junus, 33, yang telah menetap di kawasan tersebut sejak 12 tahun lalu memberitahu, sejak lebuh raya tersebut dibuka, kawasan penempatan itu ibarat 'hidup segan mati tak mahu'.

"Dulu kawasan ini meriah kerana banyak aktiviti perniagaan dijalankan namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kawasan ini seperti penempatan 'mati'.
"Sebelum ini, ada sebuah klinik swasta di sini, namun disebabkan masalah jarak perjalanan untuk ke kawasan ini terlalu jauh, klinik tersebut menutup operasinya.
"Medan selera yang dibina di kawasan ini juga hanya menjadi tempat lepak remaja sahaja kerana Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak menyelenggara dengan baik,'' ujarnya.

Pengerusi Surau Taman Kajang Utama, Othman Suboh, 66, mengakui pembinaan terowong tersebut perlu dipercepatkan bagi mengelak lebih banyak kemalangan di pusingan U berdekatan sebuah plaza tol itu.
"Kebiasaannya penunggang motosikal lebih terdedah kepada kemalangan di pusingan tersebut.
"Selain itu, terowong itu juga dapat memendekkan masa perjalanan untuk ke Kajang,'' jelasnya.

Bagi V. S. Suwaminthan pula, walaupun banyak aduan dibuat tetapi ia tidak membawa apa-apa makna jika pihak yang bertanggungjawab tidak meneliti masalah yang dihadapi oleh penduduk.
"Kerajaan negeri seharusnya meneliti aduan penduduk ini dan kami sangat berharap pembinaan terowong tersebut dapat dibina secepat mungkin,'' jelasnya.

No comments: