Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, November 17, 2008

ARKIB : 13/02/2008

Semenyih dimaju secara berperingkat
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI


SEMENYIH 12 Feb. – Pembangunan bandar Semenyih akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi menyelaraskan kemudahan infrastruktur serba lengkap kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor berkata, perancangan pembangunan tersebut merangkumi pelebaran jalan, kemudahan infrastruktur, kelengkapan kemudahan asas serta pembangunan sekitar penempatan penduduk.

Beliau berkata, walaupun bandar Semenyih lambat membangun, kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sentiasa mencari inisiatif untuk memajukan kawasan tersebut bagi keselesaan penduduk.
“Kawasan Semenyih telah maju berbanding lima tahun dahulu di mana kerajaan negeri telah membesarkan kawasan Semenyih Central seluas 12 hektar dan ditempatkan terminal bas di situ.

“Selain itu, terdapat juga Markas Pasukan Gerakan Am serta cawangan Universiti Nottingham telah dibina di sini.
“Jadi kerajaan negeri mempunyai perancangan yang jelas untuk jangka masa panjang bagi membangunkan kawasan sekitar Semenyih ini. Cuma pembanguan tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat dan dengan perancangan teliti,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai masalah kekurangan kemudahan infrastruktur serta kesesakan di Semenyih.
Penduduk mendakwa, terdapat sesetengah kawasan masih tidak mempunyai kemudahan lampu isyarat walaupun kawasan tersebut sering berlaku kemalangan.

Selain itu, mereka mendakwa sistem lalu lintas di bandar tersebut tidak efisien kerana keadaan di Semenyih masih sesak seperti lima tahun dahulu.
Menurut Ahmad Kuris, bagi mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di kawasan tersebut, jalan di kawasan itu akan dinaik taraf dan susur keluar masuk juga akan diubah.

“Sebuah jambatan bernilai RM6 juta akan dibina merentasi Sungai Semenyih menuju ke simpang Jalan Broga.
“Selain itu, kita akan menaik taraf serta melebarkan jalan di kawasan ini secepat mungkin bagi melicinkan keadaan lalu lintas serta memberi keselesaan kepada penduduk Semenyih khususnya.

“Jadi saya amat berharap penduduk faham situasi ini bagi memudahkan perancangan pembangunan di Semenyih ini berjalan dengan lancar dan teratur,” katanya.
Ditanya mengenai bangunan terbengkalai dan masalah ketiadaan lampu isyarat di bandar Semenyih, beliau menjawab:
“Kebanyakan tanah di kawasan ini hak milik persendirian, jadi kerajaan negeri dan majlis tidak mempunyai sebarang hak untuk menguruskannya.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan cuba mengambil alih tanah tersebut dan diberikan hak milik supaya kawasan tersebut dilengkapkan dengan kemudahan serta dapat membangunkannya kembali,” ujarnya.

No comments: